أهلا وسهلا

أهلا وسهلا

Wednesday, July 4, 2012

Panduan Solat Jama' Dan Qasar

Disediakan oleh: Ust. Huzaifah bin Omar

SOLAT QASAR

۞ Takrifan
Solat qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu zuhur, asar dan isya’ kepada dua rakaat sementara solat maghrib dan solat subuh tidak boleh diqasarkan.

۞ Hukum Qasar

HARUS berdasarkan kepada dalil berikut:-
◙ Al-Quran
   surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud:
    “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan)     solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…” 
◙ As-Sunnah
      ‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar al-Khattab “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w dan baginda bersabda “solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya” 
                   (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud) 

۞ Jarak Dibenarkan Qasar
Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Oleh itu dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

۞ Syarat Solat Qasar
i-Hendaklah perjalanan itu diharuskan oleh   syara’.
ii-Jauh perjalanan itu tidak kurang daripada  dua marhalah (89 kilometer / 56 batu).
iii-Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv-Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
v-Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

SOLAT JAMA’

۞ Takrifan
Solat Jama’ terbahagi kepada :
Jama’ taqdim iaitu mengerjakan solat zuhur dan solat asar dalam waktu zuhur atau solat maghrib dan solat isya’ dalam waktu maghrib.
Jama’ ta’khir iaitu mengerjakan solat  zuhur dan solat asar dalam waktu asar atau solat maghrib dan solat isya’ dalam waktu isya’.

۞ Syarat-syarat Solat Jama’

♦ Solat Jama’ Taqdim
i- Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat zuhur daripada solat asar dan solat maghrib daripada solat isya'.
ii-Hendaklah niat jama’ taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi lebih afdhal di dalam takbiratul ihram.
iii-Berturut-turut diantara solat yang dijama’kan itu. 
iv-Berkekalan perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
 v-Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (zuhur atau maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (asar atau isya’).

Solat Jama’ Ta’khir
i-Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu zuhur atau maghrib.
ii-Berkekalan perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.  

۞ Contoh Niat
 
       ♦ Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
 
( Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya asar tunai kerana Allah Taala ) 

Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا
 إلى العصر اداء لله تعالى
( Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada asar tunai kerana Allah Taala )

Selamat beramal…
 

No comments:

Post a Comment