أهلا وسهلا

أهلا وسهلا

Wednesday, July 4, 2012

Panduan Solat Jama' Dan Qasar

Disediakan oleh: Ust. Huzaifah bin Omar

SOLAT QASAR

۞ Takrifan
Solat qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu zuhur, asar dan isya’ kepada dua rakaat sementara solat maghrib dan solat subuh tidak boleh diqasarkan.

۞ Hukum Qasar

HARUS berdasarkan kepada dalil berikut:-
◙ Al-Quran
   surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud:
    “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan)     solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…” 
◙ As-Sunnah
      ‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar al-Khattab “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w dan baginda bersabda “solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah-Nya” 
                   (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud) 

۞ Jarak Dibenarkan Qasar
Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Oleh itu dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

۞ Syarat Solat Qasar
i-Hendaklah perjalanan itu diharuskan oleh   syara’.
ii-Jauh perjalanan itu tidak kurang daripada  dua marhalah (89 kilometer / 56 batu).
iii-Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv-Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
v-Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

SOLAT JAMA’

۞ Takrifan
Solat Jama’ terbahagi kepada :
Jama’ taqdim iaitu mengerjakan solat zuhur dan solat asar dalam waktu zuhur atau solat maghrib dan solat isya’ dalam waktu maghrib.
Jama’ ta’khir iaitu mengerjakan solat  zuhur dan solat asar dalam waktu asar atau solat maghrib dan solat isya’ dalam waktu isya’.

۞ Syarat-syarat Solat Jama’

♦ Solat Jama’ Taqdim
i- Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat zuhur daripada solat asar dan solat maghrib daripada solat isya'.
ii-Hendaklah niat jama’ taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi lebih afdhal di dalam takbiratul ihram.
iii-Berturut-turut diantara solat yang dijama’kan itu. 
iv-Berkekalan perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
 v-Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (zuhur atau maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (asar atau isya’).

Solat Jama’ Ta’khir
i-Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu zuhur atau maghrib.
ii-Berkekalan perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.  

۞ Contoh Niat
 
       ♦ Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
 
( Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya asar tunai kerana Allah Taala ) 

Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا
 إلى العصر اداء لله تعالى
( Sahaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada asar tunai kerana Allah Taala )

Selamat beramal…
 

Tuesday, March 27, 2012

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah SKTK 2012

Sekolah Kebangsaan Telok Kumbar telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah pada 17 Februari 2012 bertempat di Dewan Terbuka SKTK. Program bermula dengan bacaan Ya Sin diikuti dengan ceramah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Abdul Moin Bin Hasim dari JPNPP. Kemudian program diteruskan lagi dengan selawat beramai-ramai dan kuiz. Semoga program yang diadakan ini akan membawa kebaikan kepada semua. Ucapan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.







Wednesday, February 15, 2012

SEJARAH RINGKAS RASULULLAH S.A.W

BIODATA RASULULLAH SAW

  • Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
  • Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka’abah)
  • Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
  • Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
  • Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
  • Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
  • Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
  • Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)


USIA 5 TAHUN
  • Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.

USIA 6 TAHUN
  • Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
  • Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
  • Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
  • Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
  • Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
  • Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
  • Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
  • Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

USIA 25 TAHUN
  • Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
  • Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah..
  • Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
  • Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
  • Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah.
  • Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
  • Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN
  • Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
  • Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
  • Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.


USIA 63 TAHUN
  • Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW.
  • Khadijah Binti Khuwailid
  • Saudah Binti Zam’ah
  • Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
  • Hafsah binti ‘Umar (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab)
  • Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
  • Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
  • Zainab Binti Jahsy
  • Maimunah Binti Harith
  • Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
  • Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)


ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
  • Qasim
  • Abdullah
  • Ibrahim
  • Zainab
  • Ruqaiyah
  • Ummi Kalthum
  • Fatimah Al-Zahra’


ANAK TIRI RASULULLAH SAW
  • Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).


SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW

SAUDARA SUSUAN
  • Thuwaibah
  • Hamzah
  • Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
  • Halimah Al-Saidiyyah
  • Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
  • Abdullah bin Harith bin Abdul ‘Uzza
  • Syaima’ binti Harith bin Abdul ‘Uzza
  • Aisyah binti Harith bin abdul ‘Uzza


BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW (ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)
  • Al-Harith
  • Muqawwam
  • Zubair
  • Hamzah ***
  • Al-’Abbas ***
  • Abu Talib
  • Abu Lahab (nama asalnya ‘Abdul ‘Uzza)
  • Abdul Ka’bah
  • Hijl
  • Dhirar
  • Umaimah
  • Al-Bidha (Ummu Hakim)
  • Atiqah ##
  • Arwa ##
  • Umaimah
  • Barrah
  • Safiyah (ibu kepada Zubair Al-’Awwam) ***